Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: RM55 bilion ECRL bukan hanya kos bina
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 1:24 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Kos sebanyak RM55 bilion untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) tidak hanya membabitkan kos pembinaan sahaja, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebaliknya, kos tersebut merujuk kepada Perjanjian Rangkakerja Pembiayaan, Liow dipetik berkata kepada Sin Chew Daily hari ini.

Beliau berkata kos pembinaan projek itu sangat telus kerana pemain industri tahu mengenai kos bagi setiap kilometer landasan kereta api yang dibina.

Liow juga berharap parti-parti pembangkang tidak akan mempolitikkan projek itu kerana ia membawa manfaat kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China Lee Xiaopeng di Beijing semalam.

Putrajaya menganugerahkan kontrak pembinaan kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala perjanjian kewangan akan dibuat dengan Export-Import Bank of China (EXIM). Kedua-duanya merupakan syarikat milik kerajaan China.

CCCC telah disenarai hitam oleh Bank Dunia kerana amalan rasuah.

Selain itu, ketiadaan bidaan terbuka bagi projek ECRL turut dibangkitkan pengkritik.

Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi menuntut kerajaan mendedahkan laporan teknikal yang terperinci untuk projek berkenaan dan syarat-syarat pinjaman.

Sementara itu, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu akhbar di Kuala Lumpur hari ini projek itu telah diberikan kepada China kerana negara itu sangat berpengalaman dalam industri berkenaan.

Beliau berkata pembangkang tidak sepatutnya merungut kerana kos itu lebih murah daripada apa yang ditawarkan Jepun dan negara-negara Eropah.

"Selain berikan Malaysia kadar pembiayaan yang menggalakkan, China juga bersedia untuk memindahkan teknologi kereta api kepada kita," kata Wee.

 

Lihat Komen
ADS