Paling Popular
Terkini

Ada yang berwarna merah, ada juga yang berwarna seakan coklat. Setiap satu mengandungi kira-kira 210 kilokalori dan lebih sedap jika dihidang panas dan ia mencetuskan isu di Malaysia baru-baru ini.

Boleh agak apa yang saya hendak kongsi dengan pembaca semua? Benda yang saya hendak cakap ini ada macam-macam nama, antaranya 'frankfurters', 'franks', 'wieners', 'weenies', 'tube steak' dan 'sausage'.

Namun ia lebih dikenali sebagai 'hotdog'!

Kalau hendak diikutkan restoran makanan segera sudah berdekad menjual 'hotdog'. Ia juga dijual penjaja tepi jalan di banyak tempat sementara 'hotdog' mentah yakni 'frankfurter' atau 'sosej' boleh dibeli dengan mudah di kedai serbaneka atau pasar raya.

Baru-baru ini nama 'hotdog' menjadi isu apabila rangkaian pretzel Auntie Anne menghadapi masalah untuk mendapat kelulusan persijilan halal JAKIM kerana beberapa kekurangan termasuk nama salah satu hidangannya 'Pretzel Dog'.

Meskipun 'hotdog' tidak ada kena mengena dengan anjing, haiwan yang dikategorikan sebagai najis dalam agama Islam, JAKIM bimbang adanya nama anjing boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam.

Persoalannya ialah apakah rakyat Malaysia kisah atau tidak nama 'hotdog' ini ditukar?

YouGov, sebuah firma penyelidikan pasaran global ternama membuat keputusan untuk membuat tinjauan sama ada perubahan nama 'hotdog' akan ada kesannya.

Firma ini menjalankan tinjauan dalam talian selama empat hari dari 21 Oktober 2016 untuk mendapat maklumat balas sama ada perlu nama 'hotdog' ditukar dan jika perlu apakah nama yang sesuai.

Kajian ini melibatkan 941 rakyat Malaysia iaitu terdiri daripada 53 peratus lelaki dan 47 peratus wanita. Enam puluh peratus responden adalah beragama Islam.

Apakah rakyat Malaysia kisah untuk 'hotdog' diberi nama baru? Hasil tinjauan menunjukkan hampir 60 peratus responden menganggap langkah menukar nama itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan.

Sebanyak 43 peratus responden menjawab "tidak, tidak sama sekali" sementara 16 peratus menjawab, "tidak, tak adalah" dan hanya lapan peratus berpendapat penukaran nama sudah tentu ada kesannya.

Seandainya rakyat Malaysia menamakan semula makanan kegemaran mereka 'hotdog', apa agaknya nama baru itu?

Lebih daripada separuh lebih suka jika ia hanya dipanggil 'sosej', diikuti dengan 'Pretzel Sosej' dan 'Frankfurters'.

Satu lagi perkara menarik hasil daripada tinjauan ini ialah sos dan bahan tambahan yang paling popular untuk 'hotdog' di Malaysia. Tujuh daripada 10 responden memilih sos, diikuti keju, mayonnaise, mustard dan akhir sekali, bawang.

Tinjauan itu juga mendedahkan sikap makan di luar di kalangan orang Islam iaitu sembilan daripada 10 responden Muslim berkata mereka hanya makan di restoran yang mempunyai persijilan Halal.

Ini jelas menunjukkan kepentingan persijilan Halal jika mahu menarik pelanggan Muslim.

Mengenai persoalan sama ada terdapat cukup restoran yang mempunyai persijilan Halal di Malaysia, sekitar 71 peratus berkata sudah ada cukup restoran yang memiliki persijilan Halal di negara ini sementara ada juga responden yang mahukan lebih banyak lagi restoran seumpama itu.

Meskipun isu 'hotdog' di Malaysia menjadi buah mulut banyak pihak termasuk di seberang Tambak, tinjauan yang dibuat oleh YouGov ini mendedahkan banyak perkara.

Apa pun saya menunggu sama ada makanan kegemaran saya 'hotdog' ini akan mendapat nama baru.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS