Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 anggota tentera cedera akibat letupan bahan kimia
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Tiga anggota tentera berpangkat Lans Koperal cedera akibat letupan bahan kimia ketika mengikuti kursus latihan letupan di Gemas, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak yang mengesahkan perkara tersebut berkata bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang laporan rasmi diterima pihaknya.

"Masih belum ada report... tapi memang berlaku," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, Markas Tentera Darat mengesahkan tiga anggotanya cedera ketika menyertai kursus letupan khas di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, semalam.

Markas tersebut dalam satu kenyataan di Seremban berkata kejadian pada pukul 2 petang itu melibatkan tiga anggota daripada pasukan 22 Komando.

Anggota yang terlibat ialah Lans Koperal Mohd Adha Hadli, Lans Koperal Mohd Helmi Mat Desa dan Lans Koperal Anuar Abdullah.

"Kesemua anggota yang terlibat telah diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat (HTD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas sebelum dipindahkan ke Hospital Segamat, Johor pada 3 petang hari yang sama.

"Anggota yang kini berada di unit kecemasan Hospital Segamat ialah Mohd Adha yang mengalami kecederaan kebakaran 18 peratus manakala Mohd Helmi dan Anuar masing-masing mengalami kecederaan kebakaran 15 dan 11 peratus," menurut kenyataan itu.

Pihak Tentera Darat akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS