MP nafi cadang benarkan pelacuran
Anggota parlimen Kapar G Manivanan menafikan memberi cadangan supaya aktiviti pelacuran dibenarkan untuk manfaat golongan miskin bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.
Beliau merujuk berita yang dimuat naik oleh sebuah portal berbahasa Mandarin.
“Saya, YB Manivanan Gowin menegaskan bahawa itu adalah fitnah semata-mata mahu menjatuhkan kewibawaan, integriti, kredibiliti dan maruah peribadi saya sebagai seorang ahli parlimen.
“Satu perkataan mahupun ayat yang terdapat dalam kandungan berita tersebut tidak pernah saya sebut di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.
“Daripada tajuk sehingga perkataan terakhir dalam berita itu adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Berita itu mendakwa Manivanan mencadangkan supaya pelacuran dibenarkan supaya golongan miskin boleh memanfaatkannya dalam usaha menampung kos sara hidup yang tinggi.
Berita itu bagaimanapun kemudian dipadam oleh portal berkenaan.
Manivanan berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan peguamnya mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap portal itu.
“Saya akan biarkan peguam-peguam saya untuk putuskan kerana ia melibatkan beberapa pihak. Saya nak tengok siapa yang sebar.
“Saya ucapkan terima kasih kerana turunkan berita itu tapi kerosakan telah berlaku,” katanya.
Malah, katanya, portal itu melaporkan reaksi terhadap kenyataan tidak benar itu.

