Lima beradik berusia antara 10 dan 17 tahun dilaporkan hilang sejak Isnin lepas sewaktu menghadiri majlis keagamaan di Persatuan Penganut Tian Hou Shen Gong, Taman Tun Aminah, di Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata kehilangan Yeo Soon Chuan, 17; Yeo Soon Shen, 16; Yeo Soon Lian, 10; Yeo Soon Yuan, 13; dan Yeo Soon Hoo, 12, dilaporkan kira-kira pukul 10.30 malam.

Kesemua mereka memakai kemeja-T berwarna merah jambu dengan tertera tulisan Shen De, kata beliau dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Taib berkata siasatan mendapati kesemua mereka berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Shen De Johor Bahru, sejak Julai lalu.

"Hasil siasatan, polis mendapati dalam tempoh tersebut, ibu kandung kepada kanak-kanak terbabit yang merupakan seorang balu turut didapati cuba memujuk penjaga persatuan untuk membawa anak-anaknya pulang ke pangkuannya tetapi tidak dibenarkan tanpa kebenaran JKM.

"Usaha untuk menghubungi ibu kandung kanak-kanak itu juga tidak berhasil dan polis meminta agar dia tampil membantu siasatan.

"Semua pihak yang ada maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak tersebut juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat," katanya.

- Bernama