Beberapa pemimpin Umno bahagian tidak bersetuju dengan cadangan pihak parti itu untuk mengadakan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) di peringkat bahagian, kerana ia tidak menjamin dapat membanteras politik wang.

Sebaliknya, menurut mereka, cadangan tersebut boleh menyebabkan berlaku perebutan antara calon MT untuk menguasai Umno bahagian supaya mengundi mereka.

Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Faisal Abdullah berkata, cadangan tersebut, jika dilaksanakan, boleh mengakibat berlakunya perpecahan dalam Umno kerana akan wujud kem-kem di kalangan Umno bahagian di semua negeri.

"Sudah tentu politik wang akan semakin bermaharajalela kerana calon MT akan menggunakan pengaruh dan wang ringgit untuk mendapatkan undi dari bahagian," katanya ketika diminta mengulas kenyataan oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan tersebut.

Menurut Muhyiddin, menerusi cadangan baru itu, tiada lagi sistem pencalonan, sebaliknya mereka yang mahu bertanding perlu mendaftar ke ibu pejabat parti, mengisi borang dan membawa pencadang serta penyokong seperti dalam pilihanraya umum.

Mengulas lanjut mengenainya, Faisal memberitahu malaysiakini , bahawa cadangan tersebut pastinya akan mendorong para pemimpin Umno lebih kerap turun ke bahagian dan membentuk pakatan di peringkat negeri untuk mendapatkan undi.

Faisal berpendapat, cara pemilihan sewaktu Perhimpunan Agung Umno seperti yang amalkan sekarang, patut dikekalkan kerana ia amat bersesuaian dengan politik Umno.

Apa yang perlu dilakukan, kata beliau, ialah perlunya diperbetulkan beberapa aspek berkaitan kaedah pemilihan tersebut diadakan, supaya dapat dibanteras sebarang kegiatan politik wang.

Perlukan kajian mendalam

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Seri Gading, Datuk Mohamed Aziz pula berkata, cadangan tersebut perlu diperbincangkan secara panjang lebar di semua peringkat pusat, negeri, bahagian dan juga cawangan untuk menentukan sama ada ia baik atau tidak, kepada parti.

"Kita kena teliti, semak betul-betul kerana kita bimbang jika dilaksanakan secara terburu-buru ia akan memberi kesan yang tidak elok kepada parti," katanya kepada malaysiakini .

Beliau berkata, cadangan untuk melaksanakan sistem itu perlu dibentangkan terutama di peringkat bahagian untuk mendapat pandangan dari ahli-ahli akar umbi terlebih dahulu.

Manakala Ketua Umno Bahagian Pasir Putih, Datuk Kamaruddin Mohd Noor pula berpendapat, cadangan tersebut adalah lebih sukar daripada apa yang diamalkan sekarang.

"Masalah utamanya ialah siapakah yang akan menjadi pemantau pemilihan tersebut? Perebutan jawatan di peringkat cawangan akan menjadi lebih hebat dan tidak mustahil akan menjejaskan perpaduan parti," katanya kepada malaysiakini .

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Umno sedang mencari proses pemilihan terbaik kerana cara yang ada sekarang menimbulkan terlalu banyak keraguan.

Katanya, sistem pemilihan itu sedang dikaji semula untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang timbul daripada proses pemilihan jawatan dalam parti, termasuk sindrom politik wang.

"Ia masih di peringkat awal, iaitu mengumpulkan maklumat dar pada ahli parti mengenai kemungkinan Umno mengadakan pemilihan sepertimana yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sewaktu pilihanraya umum," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Beliau berkata, perubahan sedemikian rupa adalah perlu bagi disesuaikan dengan peredaran zaman dan kemajuan dalam parti itu sendiri.