Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diplomat Amerika tegur Najib, kata retoriknya seperti Mahathir
Diterbitkan:  Nov 4, 2016 12:07 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Diplomat tertinggi Amerika Syarikat bagi rantau Asia Timur, semalam, menegur Perdana Menteri Malaysia berhubung ulasannya yang membidas negara Barat yang disifatkan "berbunyi n sedikit lebih seperti" Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun menurut Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Asia Timur, Daniel Russel, beliau tidak melihat ulasan itu sebagai bukti kecondongan kepada China.

Dalam editorial yang disiarkan dalam akhbar China Daily, Rabu lalu, Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka.bekas kuasa penjajah tidak seharusnya bersyarah dengan tujuan cuba campur tangan dalam hal ehwal dalaman bekas jajahan yang pernah mereka eksploitasi.

Ulasan itu dilihat sebagai amaran kepada Barat ketika Najib berusaha mengukuhkan hubungan dengan China selepas Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan tindakan undang-undang pada Julai lalu yang mengaitkan beliau dengan skandal pengubahan wang haram.

Ditanya mengenai tanda-tanda Malaysia cuba memupuk hubungan ketenteraan lebih erat dengan China selepas Najib bersetuju di Beijing pada Selasalalu untuk membeli empat kapal tentera laut China, Russel, pada satu sidang media berkata: "Saya membaca sesuatu yang diperkatakan oleh perdana menteri itu dalam People’s Daily yang berbunyi sedikit lebih seperti bekas perdana menteri Mahathir daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib, tetapi okay, mungkin terdapat beberapa keadaan khas.

"Bagi pembelian Malaysia dari China - itu bukannya condong kepada China, itu adalah membuat perjanjian komersial. Semua orang melakukannya. Idea bahawa kerjasama negara ketiga dengan China adalah perkara yang tidak baik, adalah buruk untuk kepentingan kita, ia tidak masuk akal."

Mahathir terkenal sebagai pemimpin lantang dengan retorik anti-Barat beliau, pernah menjadi mentor Najib tetapi bertukar menjadi seteru pada tahun 2013 dengan mengkritik dasar-dasar ekonomi kerajaan dan hubungan mesranya dengan Barat.

Russel berkata hubungan Amerika dengan Malaysia bertambah baik di bawah Presiden Barack Obama dan menyatakan bahawa lawatan Obama ke Kuala Lumpur pada 2014 adalah yang pertama oleh seorang presiden Amerika Syarikat pada 50 tahun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS