Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah: Kemungkinan tsunami di Kudat berdasar simulasi tanah runtuh
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 6:18 AM
Dikemaskini: 10:22 PM

Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul menjelaskan kenyataan Jabatan Meteorologi berhubung kemungkinan tsunami setinggi 50 meter di kawasan Kudat, adalah berdasarkan simulasi tanah runtuh di luar pantai Brunei.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS berkata tsunami itu boleh berlaku sekiranya tanah runtuh itu bergerak serentak pada kadar kelajuan tinggi.

"Memang terdapat bukti tanah runtuh gergasi pernah berlaku di luar pantai bahagian Barat Sabah pada masa dahulu.

"Namun kejadian begini (tanah runtuh bergerak laju) jarang berlaku. Tanah runtuh bawah laut biasanya bergerak secara perlahan dan berperingkat... maka tsunami 50 meter itu adalah hasil simulasi senario paling buruk," katanya dalam satu
kenyataan semalam.

Felix berkata simulasi dihasilkan gempa bumi di sepanjang Manila Trench (bahagian Barat Filipina) menghasilkan tsunami setinggi satu hingga dua meter di kawasan Kudat.

"Oleh kerana gempa bumi besar kerap berlaku di Manila Trench, maka tsunami di masa hadapan besar kemungkinan datang daripada sumber ini (gempa bumi Manila Trench).

"Namun tidak kira dari mana sumber tsunami itu, penduduk di Kudat perlu berjaga-jaga," katanya.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS