Kalau Syria boleh, kenapa Rohingya tidak - peguam hak asasi
Pengumuman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai dasar kerajaan untuk membawa masuk pelarian Syria mencetuskan perang Twitter dengan peguam hak asasi manusia yang mempertahankan Rohingya.
Semalam, Nur Jazlan menulis di tweetnya tentang cadangan kerajaan untuk mengambil 500 pelarian Syria lagi dan setakat ini telah membelanjakan RM2 juta ke atas mereka.
Dalam reaksi terhadap cadangan itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, "Mengapa Syria mendapat layanan istimewa?
"Bagaimana dengan kaum Rohingya yang telah berada di sini selama berdekad lamanya, ada yang dilahirkan di sini, yang masih dianggap 'pendatang tanpa izin'?" tegasnya.
Bagaimanapun, Nur Jazlan memaklumkan bahawa Malaysia telah membawa masuk 160,000 warga Rohingya setakat ini.
Walaupun terdapat masyarakat Rohingya yang besar di Malaysia, mereka tidak diiktiraf secara rasmi sebagai pelarian.
"Penyelesaian jangka panjang - kerajaan Myanmar perlu ambil mereka kembali," kata Nur Jazlan.
Paulsen kemudian menjawab bahawa Rohingya tidak mungkin kembali kerana mereka ditindas oleh kerajaan Myanmar sambil menyifatkannya sebagai 'pembunuhan beramai-ramai secara perlahan-lahan'.
Nur Jazlan, bagaimanapun, tegas tentang pengiktirafan masyarakat Rohingya sebagai pelarian.

