Senator Dr Mohamed Puad Zarkashi mendakwa di Dewan Negara hari ini bahawa kerajaan telah memberi kelonggaran kepada syarikat milik kerajaan Singapura, Temasek Holding, untuk membeli saham dalam syarikat tempatan kerana ia dikuasai oleh isteri Perdana Menteri Singapura.

Bercakap di sidang Dewan Negara hari ini, Mohamed Puad mendakwa, selain memiliki saham dalam Syarikat Telekom Berhad , Temasek juga turut dibenarkan membeli saham dalam projek City Square di Johor serta beberapa syarikat yang lain.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menafikan dakwaan tersebut, sambil menjelaskan bahawa syarikat asing perlu memenuhi peraturan yang ditetapkan bagi mendapat kelulusan untuk membeli saham syarikat tempatan.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, ini termasuklah memaklumkannya kepada Bursa Saham Kuala Lumpur serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, dan bukannya kerana individu tertentu.

Katanya, begitu juga dengan pembelian saham Telekom Berhad sebanyak lima peratus oleh Temasek Holdings, dan saham Proton Holdings oleh Government of Singapore Investment Corporation sebanyak lima peratus, yang menurut Helmi adalah merupakan transaksi komersial.

Kemasuk modal asing

"Kerajaan telah menetapkan apa-apa transaksi jual-beli saham tidak akan menjejaskan pengawalannya ke atas syarikat-syarikat yang strategik dan yang mempunyai kepentingan nasional," tegas beliau.

Ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Chin Fook Weng, Helmi berkata setiap pembelian saham syarikat tempatan dari luar negara dikawal oleh kerajaan dalam menggalakkan kemasukan modal asing.

Katanya, kerajaan memang menggalakkan pelabur luar membeli saham syarikat tempatan kerana ia menambah modal asing masuk ke Malaysia selain menggalakkan pasaran saham tempatan.

Menurutnya lagi, pembelian saham syarikat tempatan oleh syarikat asing membuktikan orang luar mempunyai keyakinan dengan syarikat itu, dan bukan bertujuan untuk menjajah.

Selain itu, pembelian saham berkenaan adalah kecil dan dengan itu tidak timbul orang asing hendak jajah syarikat tempatan, katanya kepada soalan Senator Datuk Jins Shamsudin.