Kementerian Pelajaran perlu mengutamakan tenaga pengajar tempatan untuk mengajar bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan di seluruh negara, kata Pengerusi DAP Wanita, Chong Eng.

Beliau berkata, ini kerana negara mempunyai ramai lepasan Sijil Peperiksaan Bersatu Sekolah Menengah Swasta Cina atau Unified Examinations Certificate (UEC) serta lulusan dari universiti Taiwan, China dan Hong Kong.

"Selain mengutamakan tenaga pengajar tempatan mereka lebih sesuai kerana fasih dalam Bahasa Malaysia jika dibandingkan dengan guru yang diimport dari China," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, DAP tidak menentang pengambilan tenaga pengajar asing tetapi lebih baik ia mengutamakan rakyat tempatan yang mempunyai kelulusan sama.

Semalam, Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya menghadapi masalah kekurangan guru untuk mengajar bahasa Cina di sekolah rendah kebangsaan (SRK) dan akan mengambil guru dari China untuk mengatasi masalah tersebut.

Oleh itu, DAP mencadangkan kerajaan mengiktiraf UEC dan lepasan universiti Taiwan, China dan Hong Kong supaya mereka dapat mengajar di SRK.

Katanya, pada masa ini, sijil UEC diiktiraf oleh lebih 500 universiti di seluruh dunia, termasuk universiti terkenal seperti Cambridge, Oxford dan universiti di China, India, Indonesia, Kanada dan Australia.

Kurangkan pekerja asing

"DAP berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mengiktiraf UEC supaya ia selaras dengan dasar menggunakan sumber tenaga berasaskan pengetahuan.

"Kami juga berpendapat bahawa kerajaan harus mengiktiraf ijazah-ijazah dari universiti di Taiwan, China dan Hong Kong sebelum mengimpot guru dari negara tersebut.

"Ini dapat mengelak keadaan di mana pemegang ijazah warga negara China diterima kerajaan tetapi warga negara sendiri sendiri tidak diiktiraf," katanya.

Malahan kata Chong Eng, dua Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang Toh Kin Woon dari Gerakan dan Lau Chik Tuan (MCA) juga telah menyuarakan pendapat yang sama dan percaya ia disokong oleh sebahagian besar kaum Cina di negara ini.

Chong berkata, beliau telah menghantar kepada Hishammuddin untuk meminta beliau mengambil berat cadangan untuk mengiktiraf UEC dan ijazah dari universiti China, Taiwan dan Hong Kong.

Ia juga, katanya, supaya rakyat negara kita yang berkelulusan, diberi peluang berkhidmat selaras dengan dasar mengutamakan sumber tenaga tempatan dan mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, tindakan itu juga membantu kerajaan mencapai matlamat untuk meningkatkan bilangan kakitangan bukan Melayu di sektor awam yang kini sangat berkurangan.