Seorang wanita pekerja kilang maut akibat tersepit dalam mesin pembancuh tepung di tempat kerjanya di Jalan Sri Wangi, Taman Perindustrian Desa Plentong, Bandar Baru Permas Jaya, di Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian berlaku pada pukul 12.43 tengah hari ketika Noridah Nazir, 42, sedang melakukan kerja rutinnya sebagai penjaga mesin bancuh tepung tersebut.

"Dipercayai tangan kanan mangsa termasuk ke dalam mesin bancuhan itu sehingga menyebabkan badannya juga tertarik ke dalam.

"Mangsa mati serta-merta di tempat kejadian dan polis tidak menjumpai apa-apa kesan yang menjurus kepada perbuatan jenayah," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata siasatan masih diteruskan dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat.

Pemandu rentung

Sementara itu, seorang pemandu kereta rentung selepas kenderaannya terbakar berhampiran Jalan Megah 21, Taman Megah, Cheras dpetang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan keseluruhan tubuhnya rentung dalam kebakaran kira-kira 5.29 petang itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa terperangkap dalam kereta yang terbakar dan cuba diselamatkan orang awam namun gagal kerana api marak dengan cepat," katanya ketika dihubungi semalam.

Othman berkata pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki berbangsa Cina berusia 52 tahun yangberalamat di Taman Murni Batu 9 Cheras, Kajang.

Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada dalam kereta berkenaan, namun punca sebenar masih disiasat.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kesdiklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

- Bernama