Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah: PICOMS didaftar sebagai kolej universiti awal tahun depan
Diterbitkan:  Nov 10, 2016 3:43 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) akan didaftarkan sebagai Kolej Universiti awal tahun depan, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yakin langkah itu akan menarik lebih ramai pelajar tempatan dan antarabangsa untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Saya turut percaya dengan infrastruktur dan prasarana yang mantap, tenaga pengajar profesional serta kos pengajian yang kompetitif, usaha tersebut akan menjadi mudah," katanya di majlis Konvokesyen Keempat PICOMS di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Rosmah turut menzahirkan rasa bangga terhadap graduan PICOMS kerana mempunyai kebolehpasaran untuk diterima bekerja oleh syarikat swasta mahupun sektor awam.

"Amalkan di tempat kerja segala ilmu yang diperoleh, pamerkan dedikasi yang tinggi kepada majikan dan jangan jadi seperti kacang lupakan kulit," kata Rosmah sambil menambah anak muda seperti graduan hari ini merupakan kelompok penting yang bakal menjadi penggerak usaha kerajaan membangunkan negara.

Beliau turut memuji inisiatif PICOMS yang tidak hanya menumpukan aspek sains kesihatan tetapi turut memulakan langkah ke arah program perhotelan dan hospitaliti.

"Langkah PICOMS memperkenal program perhotelan dan hospitaliti adalah amat bersesuaian dan akan mendapat permintaan tinggi serta menjadi pilihan bakal graduan kelak," katanya.

Di majlis itu, Rosmah menyampaikan diploma kepada 200 graduan PICOMS dalam kalangan 1,060 bilangan keseluruhan dalam pelbagai bidang termasuk Sains Perubatan, Sains Kejururawatan, Farmasi dan Kesihatan Persekitaran.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi PICOMS Datuk Mahamad Zubir Sheikh Saad.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS