Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjelaskan bahawa ia hanya membayar kos makan dan minum presiden dan pengarah eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di sesi penerangan di Sydney baru-baru ini.

Timbalan menterinya, Datuk Jailani Johari berkata Arul Kanda menghadiri sesi itu di University New South Wales "atas kapasiti peribadi" dan 'tidak timbul' soal kerajaan menanggung perbelanjaannya.

Oleh itu, Jailani memberitahu Dewan Rakyat malam tadi, bahawa tiada sebarang kos yang dibayar, hanya kos makan dan minum.

Ketika diasak oleh Anthony Loke (DAP-Seremban) sama ada kerajaan membayar tiket penerbangan presiden 1MDB itu, dan berapa kos sesi tersebut, Jailani sekali lagi menjawab bahawa kementerian hanya bayar kos makan dan minum.

Timbalan menteri itu juga berkata Arul Kanda menjelaskan fakta tentang 1MDB bukan satu isu, sambil mendakwa bahawa pembangkang senang-senang membuat "fitnah dan pembohongan" tentang firma pelaburan negara itu.

Acara di Sydney itu dipercayai dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) kementerian berkenaan.

Ia menjadi berita apabila seorang wartawan dari The Wall Street Journal diusir keluar dari menghadiri sesi taklimat tersebut.

Menurut Jailani, itu bukan isu, dengan mendakwa media arus perdana Malaysia sering tidak dibenarkan membuat liputan acara anjuran pembangkang.

JASA sebelum ini telah mengadakan pelbagai sesi penerangan di universiti-universiti awam di Malaysia mengenai 1MDB.

Program tertutup itu menampilkan Arul Kanda sebagai satu-satunya penceramah, dengan pemudahcaranya dari JASA.

Ini membuat beberapa pelajar di Universiti Malaya (UM) membawa sepanduk sebagai membantah ianya diadakan di universiti mereka pada 11 Oktober.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengkritik ceramah itu yang disifatkannya sebagai sesi 'cuci otak'.

Ahli jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Abdul Rahman juga mengadu dihalang menghadiri sesi di UM itu, selepas diberitahu ia terbuka kepada pelajar UM sahaja.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS