Permohonan supaya panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar cabaran perundangan M Indira Gandhi terhadap penukaran agama anak-anaknya kepada Islam secara unilateral, telah ditolak.

Peguamnya M Kulasegaran berkata perkara itu disampaikan oleh pegawai Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.

Surat bertarikh 8 November itu menyatakan permohonan Indira Gandhi untuk panel sembilan hakim tidak diluluskan.

Pegawai itu memberitahu peguam terbabit bahawa beliau diarahkan oleh Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria untuk menyampaikan perkara berkenaan.

Setakat ini, belum ada panel lebih daripada tujuh hakim yang mendengar kes di Mahkamah Persekutuan.

Panel tujuh anggota telah bersidang untuk mendengar rayuan oleh Gereja Roman Katolik dalam kes samannya terhadap Kementerian Dalam Negeri berkaitan hak untuk menggunakan istilah 'Allah'.

Ia masih tidak jelas berapa ramai hakim dalam panel yang akan mendengar rayuan Indira Gandhi pada hari Isnin.

Peguam Indira Gandhi telah memohon panel sembilan hakim pada bulan Ogos kerana kes ini mungkin mempunyai kesan terhadap kes-kes penukaran agama secara unilateral yang lain.

Indira Gandhi, 41, berdepan dengan kes perundangan yang berlarutan dengan bekas suaminya K Pathmanathan @ Muhammad Ridhuan Abdullah berhubung hak penjagaan tiga anak mereka.

Muhammad Ridhuan telah memeluk Islam dan menukar agama tiga orang anaknya tanpa pengetahuan Indira Ghandhi pada 2008.

Anak bongsunya Prasana Diksa @ Ummu Habiba, kemudian 11 bulan, telah diambil daripadanya oleh Muhammad Ridhuan pada tahun 2009.

Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak Indira Gandhi adalah batal dan tidak sah, tetapi keputusan itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 pada Disember tahun lepas.

[Baca berita penuh]