Walaupun dilihat tidak sehaluan, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau tetap menyenangi timbalan presidennya, Datuk Seri Azmin Ali secara peribadi.

"Adakah kami sangat rapat? Tidak. Adakah kami bekerja bersama-sama? Ya.

"Saya sukakan Azmin. Saya ada perbezaan pandangan pada sesetengah isu tetapi ia tidak bermakna saya perlu membenci seseorang yang tidak sependapat dengan saya," katanya kepada Malaysiakini di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Pandan semalam.

Rafizi kemudian memberi contoh dengan memetik nama Ketua Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Menganggap kedua-dua tokoh itu tidak sehaluan dengannya, Rafizi menambah dia sebenarnya menyukai Noh dan Bung Moktar.

"Saya tidak semestinya bersetuju dengan apa yang mereka kata, tetapi saya suka mereka secara peribadi," katanya.

Kata naib presiden PKR itu beliau dan Azmin mempunyai tugasan berasingan untuk diberi tumpuan dan jika semua pihak berjaya melaksanakan tugas masing-masing, pihak yang mendapat manfaat adalah rakyat.

Beliau juga mendedahgkan keputusan untuk membuat aduan mengenai kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya adalah keputusan PKR.

Menurut Rafizi ia juga disokong Azmin yang bertindak sebagai menteri besar dan sebahagian daripada anggota biro politik parti.

Mei lalu Rafizi membangkitkan dakwaan rasuah wang dan seks dalam kerajaan Selangor namun Azmin menafikannya dan menganggap ia sebahagian daripada kempen mencemar namanya.

Khamis lalu kerajaan mengumumkan SPRM tidak menemui sebarang bukti atas dakwaan Rafizi itu.

Dalam perkembangan berkaitan Rafizi juga menafikan beliau bersendirian dalam parti.

"Saya tidak pergi merata-rata dan menunjuk-nunjuk (sokongan) kerana ia tidak profesional. Saya yakin saya tidak berseorangan, jika tidak tentu saya tidak begini yakin melakukan apa yang saya buat sekarang," katanya.

[Baca berita penuh]