Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud melanda Pulau Selatan di New Zealand dan mencetuskan tsunami, memaksa orang ramai dipindahan dari kawasan rendah dan membunuh sekurang-kurangnya dua orang.

"Melalui maklumat terbaik yang kami dapat, ada dua kematian," kata Perdana Menteri John Key pada sidang media di Wellington, lapor Radio New Zealand hari ini.

Menurut Key kabinet negara itu bermesyuarat hari ini dan mungkin akan melawat kawasan yang dilanda bencana itu.

"Komunikasi menjadi sukar dan pasukan penyelamat sedang menilai kerosakan serta mendapatkan maklumat mengenaia kematian," katanya dipetik media.

Lebih 100 gegaran susulan dikesan melanda New Zealand sejak gempa bumi terjadi kira-kira tengah malam waktu tempatan.

Pusat Kajian Geologi AS (USGS) berkata gegaran itu berlaku pada kedalaman 23km dengan pusat gempa terletak 91km di timur laut Christchurch.

Gempa bumi sekuat 6.3 magnitud di bandar raya berkenaan pada 2011 menyebabkan 185 orang terbunuh selain membawa kerosakan besar di situ.

Kementerian Pertahanan Awam dan Pengurusan Bencana memberi amaran "ombak antara 3 hingga 5 meter di sepanjang pesisir pantai berhampiran pusat gempa" mungkin terjadi di pantai timur laut Pulau Selatan, seperti Blenheim, manakala di tempat lain ombak mungkin setinggi antara 1 hingga 3 meter.

Kementerian itu berkata tsunami pertama tiba di kawasan berhampiran Kaikoura dan Wellington.

[Baca berita penuh]