Kementerian Kewangan hari ini memberi jaminan kepada pelabur yang Malaysia tidak akan menambat ringgit atau mengenakan kawalan modal meskipun prestasi turun naik yang dicatatkan oleh unit tempatan
itu ketika ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata penurunan ringgit diburukkan lagi oleh aktiviti spekulasi di luar pesisir.

"Ini susulan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kenaikan kadar di AS tidak lama lagi, yang menyebabkan para pelabur membawa keluar dana mereka dari Asia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2016, di Kuala Lumpur, hari ini.

Johari juga berkata Bank Negara Malaysia akan memastikan pasaran pertukaran asing yang teratur di negara ini.

"Bagi Malaysia, asas kita adalah kukuh (memandangkan) pertumbuhan dalam keluaran dalam negara kasar kita bagi suku ketiga, aktiviti ekonomi dan pelaburan prasarana," katanya.

"Kita tidak akan mengenakan kawalan modal atau tambatan kerana kita adalah sebuah ekonomi terbuka dan kita akan kekal sebagai itu," katanya.

Mengulas mengenai hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Johari berkata Malaysia mempunyai pelabur jangka panjang dan stabil yang yakin dengan ekonomi negara dan cenderung untuk terus melabur dalam MGS tempatan.

"Mereka bukan seperti spekulator atau pelabur jangka pendek...itulah
sebabnya mengapa kita perlu mengekalkan mereka.

"Sesiapa yang merasakan sudah sampai masa untuk keluar, BNM akan
mempermudahkannya. Kawalan modal tidak akan dikenakan, tambatan bukan satu pilihan di negara kita, dan kita adalah sebuah ekonomi terbuka.

"Tidak kira bagaimana tidak menentunya ekonomi kita, kita akan
menguruskannya berdasarkan asas-asas kita," katanya.

Hasil MGS 10 tahun Malaysia meningkat 28.6 mata asas kepada 3.94 peratus selepas pilihan raya presiden AS.

Mengenai penurunan harga minyak di bawah penanda aras US$45 setong yang digunakan dalam pengiraan Bajet 2017, Johari berkata:

"Kita akan kekal dengan paras itu (penanda aras US$45 setong). Jika kita mahu melakukan sebarang perubahan, kita perlu menunggu sehingga suku pertama tahun depan.

"Sekarang masih terlalu awal untuk kita membincangkannya," katanya.
-Bernama