Universiti Monash Malaysia menjelaskan amaran tindakan disiplin melalui e-mel terhadap pelajarnya yang hadir “perhimpunan haram” hanya peringatan supaya mereka mematuhi undang-undang.

Universiti itu memohon maaf berhubung “kata-kata” dalam e-mel itu, yang dikeluarkan beberapa hari sebelum BERSIH5 Jumaat ini.

“Komunikasi itu tidak menyampai mesejnya dengan tepat,” menurut Monash dalam kenyataannya hari ini.

“Mesej itu bertujuan mengingatkan pelajar bahawa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram bertentangan dengan undang-undang Malaysia, pelajar patut tahu kesan tindakan bertentangan dengan undang-undang.”

Malaysiakini semalam melaporkan pelajar Monash boleh dikenakan tindakan disiplin jika didapati menghadiri atau ditahan dalam mana-mana "perhimpunan haram".

E-mel tersebut tidak menyatakan perhimpunan apa, tetapi menyebut terdapat banyak "perhimpunan haram... tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa" baru-baru ini.

Sesetengah pelajar Monash terkejut dengan amaran berkenaan kerana Monash sentiasa lantang bersuara mengenai hak asasi manusia dan isu-isu kesaksamaan.

[Baca berita asal]