Rahman: Tiada risiko tukaran asing kemudahan pinjaman mudah ECRL
Kemudahan pinjaman mudah Reminbi-Ringgit bagi projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) tidak akan berdepan risiko tukaran asing (Forex) kerana ia akan menggunakan kadar tukaran asing tetap, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan.
"Tiada risiko pendedahan kadar tukaran asing bagi kita, memandangkan pada masa pengeluaran yang pertama, kadar tukaran Reminbi-Ringgit bagi tujuan pembayaran balik pinjaman akan ditetapkan bagi baki tempohnya.
"Kadar tetap ini juga akan digunakan untuk pengeluaran masa depan dan pembayaran baik bahagian denominasi Reminbi pinjaman berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rahman turut menjelaskan bahawa kadar tetap ini membolehkan semua pembayaran balik pinjaman adalah dalam denominasi Ringgit pada kadar pertukaran Reminbi-Ringgit yang tetap, yang tidak melibatkan risiko turun naik kadar pertukaran.
- Bernama

