Pelajar Perak di Jordan, Mesir terima bantuan tambahan RM2,000 seorang
Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) memberi bantuan RM2,000 seorang kepada 129 pelajar pengajian Islam di Jordan dan 175 pelajar perubatan di Mesir tahun ini sebagai tambahan kepada bantuan dermasiswa sedia ada.
Exco Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata pelajar yang mengikuti Markaz Lughah di negara berkenaan turut menerima bantuan RM3,500 setiap seorang memandangkan kos sara hidup dan yuran pengajian yang meningkat.
"Sehingga kini, dermasiswa kepada setiap pelajar pengajian Islam yang menuntut di Jordan ialah sebanyak RM11,000 manakala pelajar pengajian Islam di Mesir menerima dermasiswa RM6,500 seorang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Abu Bakar Hussian (PAS-Titi Serong) mengenai bantuan kerajaan negeri kepada pelajar yang menuntut di negara Timur Tengah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.
Mohd Nizar berkata MAIPk masih mengekalkan kadar bantuan dermasiswa untuk pelajar perubatan di Mesir iaitu sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya masih mempertimbangkan pemberian bantuan itu kepada pelajar yang mempunyai tunggakan yuran pengajian dan setakat ini, 12 orang telah dibantu membabitkan jumlah RM130,000.
Mohd Nizar berkata MAIPk turut menyediakan Skim Pelajar Cemerlang bagi menggalakkan pelajar untuk fokus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dengan memberikan wang sagu hati kecemerlangan.
"Pada tahun ini, pelajar-pelajar yang cemerlang menerima sagu hati berjumlah RM4,000 bagi keputusan Mumtaz, RM3,000 bagi keputusan Jayyid Jiddan dan RM1,000 bagi keputusan Jayyid.
"MAIPk akan sentiasa membuat penelitian dan kajian semula bukan sahaja melibatkan pelajar di Timur Tengah, malah pelajar di negara-negara lain agar mereka fokus dalam pengajian," katanya.
- Bernama

