Sebanyak 36 replika yang menyerupai bom tangan, peluru dan pistol dirampas daripada sebuah kedai menjual cenderamata di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Panchor, Lebuhraya Raya Utara-Selatan arah selatan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata rampasan dianggarkan bernilai RM800 itu terdiri daripada dua replika bom tangan bersaiz besar; satu (bom asap bersaiz besar); 11 (bom tangan kecil); 12 (bom asap kecil); satu peluru dan sembilan (pistol).

Beliau berkata polis telah menahan pemilik kedai iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya wanita itu didapati mempunyai lesen perniagaan yang sah dari Majlis Perbandaran Muar.

"Dari siasatan awal, suspek menyatakan bahawa dia membeli barangan tersebut dari sebuah syarikat pemborong alat mainan di Kuala Lumpur dan suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau," kata Azman dalam sidang media di Muar hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksysen 36 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Azman mengingatkan peniaga dan orang ramai agar tidak menjual barang cenderamata menyerupai senjata api atau bahan letupan kerana mampu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat selain salah dari segi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes samun sebuah kedai serbaneka di Jalan Damai, Taman Damai, Sungai Abong, di Muar malam semalam agar tampil berjumpa polis.

Katanya dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, seorang pembantu kedai berkenaan yang berusia 21 tahun dipaksa mengeluarkan wang berjumlah RM100 dari mesin pengeluaran wang (ATM).

"Berdasarkan siasatan kamera litar tertutup (CCTV), suspek adalah lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 40-an, memakai baju berkolar dan berwarna hitam, merah dan putih serta berseluar Jeans biru.

"Suspek juga memakai topi besbol berwarna kelabu dan memakai selipar berwarna hitam," katanya.

- Bernama