Sultan Perak: Kesiapsiagaan ketenteraan kini lebih penting
Persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks dan sukar diramal menjadikan kesiapsiagaan ketenteraan kini
lebih mencabar dan perlu diberi keutamaan daripada sebelumnya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Justeru, baginda menegaskan bahawa biar betapa tidak menentu sekali pun keadaan yang wujud hari ini, perkara yang perlu sentiasa diberi keutamaan ialah keperluan mempunyai angkatan bersenjata yang berpendidikan lengkap di peringkat kebangsaan dan serantau serta di persada lebih luas.
"Pendidikan mewujudkan lebih banyak pendedahan, merangsang wawasan dan kefahaman baharu dalam kalangan pelajar, di samping meningkatan kemampuan yang amat diperlukan.
"Ini menyumbang kepada keupayaan untuk memahami secara lebih jelas tentang isu dan keadaan bersifat kompleks yang mendepani angkatan baersenjata kita hari ini," titah baginda ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Pendidikan Barisan
Pertahanan dan Keselamatan Pertama Bagi Negara', di ibunegara hari ini.
Syarahan itu, yang diadakan bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), juga menyaksikan pelancaran buku berjudul 'Memoir seorang Jeneral'.
Sultan Nazrin bertitah, selain cabaran keselamatan 'tradisional' seperti tuntutan wailayah, terdapat juga isu lain seperti keganasan antarabangsa, yang sentiasa merobah bentuknya.
"Cabaran ini memerlukan wujudnya suatu pendekatan dalam pendidikan ketenteraan bagi melatih anggota pasukan bersenjata agar mereka mampu menjangka dan memberi respons terhadap bentuk serangan pengganas yang berubah coraknya.
"Keupayaan itu, antara lain, bergantung pada tahap kefahaman dalam konteks sosial, budaya dan politik," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, serangan siber dan ancaman baru berkaitan teknologi juga berpotensi mewujudkan kesan dahsyat, yang memerlukan angkatan bersenjata mengamalkan pendekatan bersifat memandang jauh ke hadapan, kreatif dan memiliki kemampuan kritikal.
"Kebanyakan aspek dalam pendidikan ketenteraan akan tidak berubah dan terus memberi fokus terhadap perilaku, ketangkasan fizikal serta keupayaan dalam bidang teknikal.
"Tetapi, memandangkan era kita sekarang merupakan era pertama di mana penggunaan dan capaian kepada maklumat menjadi lebih penting daripada kuasa bedilan, latihan dan kesiapsiagaan dalam bidang ini kini menjadi amat penting,"
titah baginda.
Mengenai ulang tahun ke-10 UPNM, Sultan Nazrin menzahirkan harapan baginda agar ketika melangkah ke dekad kedua kewujudannya, universiti itu akan mengambil pengajaran daripada pengalaman pasukan tentera lain serta menimbang dengan teliti dinamik persekitaran keselamatan yang dihadapi negara ketika ini di peringkat kebangsaan, serantau dan global.
"Beta ingin menegaskan bahawa kini, kesiapsiagaan adalah lebih penting daripada sebelumnya berikutan kemudahruapan dan bahaya yang wujud pada masa yang akan kita tempuhi.
"Sama-samalah kita pastikan pendidikan ketenteraan yang diberi di sini (di UPNM), lebih daripada mencukupi untuk mempersiapkan diri pelajarnya dalam menunaikan tugas mulia masing-masing," titah baginda.
- Bernama

