Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Video bidas AG: Bos M'kini diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  Nov 18, 2016 11:31 AM
Dikemaskini: 7:42 AM

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen (Cyber) Kuala Lumpur berhubung pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi “jelik” dengan niat “menyakitkan hati orang lain”.

Video bertajuk “Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan” dan satu lagi video sama yang menggunakan tajuk bahasa Inggeris memaparkan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengkritik Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.

Ia berkisar mengenai sidang akhbar Khairuddin, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, yang membidas Apandi dan menuntutnya meletak jawatan kerana enggan membuat pendakwaan dalam kes 1MDB.

Gan juga berdepan dua pertuduhan berasingan sebagai pengarah KiniTV yang menyiarkan video sidang akhbar itu.

Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan bon peribadi RM2,000 tanpa penjamin.

Pengurusan kes kemudiannya ditetapkan pada 3 Januari depan.

Gan dan KiniTV diwakili peguam Fahri Azzat, K Shanmuga dan James Khong

Peguam Ambiga Sreenevasan selaku Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia juga hadir.

Awal bulan lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyerbu pejabat portal berita bebas itu dan merampas komputernya.

KiniTV, saluran video atas talian Malaysiakini, dituduh bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Jika sabit kesalahan seseorang itu boleh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Selain Gan, Premesh Chandran yang juga seorang lagi pengarah KiniTV yang sepatutnya didakwa hari ini tetapi notis hadir ke mahkamah tidak dapat disampaikan kerana beliau sedang bercuti sabatikal dan sedang menetap di London.

Gan hari ini turut didakwa bawah Seksyen 244(1) akta yang sama, susulan jawatannya dalam syarikat itu.

Steven dan Premesh juga adalah pengasas bersama Malaysiakini.

Gan dalam reaksinya semalam: “Kami akan lawan di mahkamah.”

“Kita akan pertahan diri bersungguh-sungguh dan buktikan di mahkamah bahawa dengan melaporkan sidang media kita tidak melakukan sebarang jenayah.

“Kita sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai wartawan,” katanya.

Sebelum ini, SKMM mengarahkan KiniTV mengeluarkan laporan berkenaan kerana didakwa melanggar Akta Multimedia dan Komunikasi, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

KiniTV bagaimanapun hanya memadamkan perkataan “haprak” yang digunakan oleh Khairuddin untuk menggambarkan AG.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS