Sebanyak 58 jalan membabitkan tujuh kawasan utama yang menjadi tempat berkumpul perhimpunan BERSIH5 di sekitar ibu negara dilencongkan mulai jam 7 pagi esok.

Semua sekali, akan terdapat 58 jalan dilencongkan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pada sidang media hari ini.

Sambil menasihati orang ramai tidak menggunakan laluan ke Dataran Merdeka, Amar Singh berkata lencongan berkenaan adalah untuk memastikan lalu lintas di kawasan sekitarnya akan berjalan lancar esok.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada memasuki kawasan-kawasan ini: Dataran Maybank di Bangsar, Brickfields (Little India), Masjid Negara dan Muzium Negara, Sogo dan Dataran Merdeka, Parlimen dan Bank Negara, Pudu Sentral dan Pasar Seni serta Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Chow Kit.

"Gunakan laluan alternatif untuk ke pusat bandar dan gunakan pengangkutan awam," nasihat Amar Singh.

Beliau juga mengesahkan bahawa lencongan akan bermula pada jam 7 pagi dan akan berakhir sehingga perhimpunan BERSIH berakhir esok.

Amar Singh juga menegaskan bahawa lencongan itu bukan sekatan jalan raya.

"Ini lencongan (lalu lintas). Jika kamu cuba memasuki kawasan itu, kamu akan dialihkan ke kawasan lain," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai mengelak daripada memasuki laluan ke Dataran Merdeka kerana dikhuatiri berlaku kesesakan lalu lintas.

[Baca berita penuh]