Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum kepada Kedutaan Myanmar di ibunegara bagi membantah tindakan tentera Myanmar membunuh dan menyeksa rakyat minoriti Rohingya di negara itu.

Bagaimanapun tiada wakil kedutaan yang tampil bagi menerima penyerahan memorandum itu, dan ia telah dimasukkan di dalam peti surat di kedutaan itu dan dialamatkan kepada duta Myanmar.

Tujuh NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Amanah Rasah Cekal (ARC) dan Kumpulan Kipidap.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata memorandum itu antara lain menggesa pihak negara berkenaan menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya yang mendatangkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

"Kita juga meminta negara anggota ASEAN, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya memainkan peranan untuk menghentikan keganasan ini dan menjadi pelindung kaum minoriti Rohingya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum itu.

Terdahulu, beliau yang mengetuai kumpulan wakil NGO berkenaan serta kira-kira 50 anggota dan warga Myanmar di negara ini berarak sejauh 200 meter ke kedutaan itu untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut laporan media, tentera Myanmar melancarkan serangan dengan helikopter terhadap perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada Sabtu lepas (12 November), mengakibatkan lapan orang maut, termasuk dua tentera.

Laporan itu juga menyebut, tentera turut menembak mati sekurang-kurangnya 25 orang di kampung berkenaan Ahad lepas (13 November).

- Bernama