Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
14 pemimpin baju merah, baju kuning ditahan polis
Diterbitkan:  Nov 19, 2016 11:29 AM
Dikemaskini: 4:46 AM

Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Md Yunos merupakan antara 14 orang yang ditahan semalam dan awal pagi ini berkaitan perhimpunan haram di ibu kota hari ini.

Jamal ditahan di rumahnya di Jalan Ampang kira-kira 1.30 pagi ini manakala Maria ditahan di pejabat Bersih di Petaling Jaya pada 5.20 petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata antara pemimpin lain yang ditahan adalah Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan bekas Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.

Katanya tangkapan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Tangkapan ke atas individu-individu ini bertujuan untuk mencegah berlakunya rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam pada Perhimpunan Bersih 5.0," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amar Singh berkata Jamal ditahan mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan iaitu anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang, dan kesnya disiasat oleh Polis Selangor.

"Tangkapan terhadap Maria Chin dibuat sewaktu serbuan di pejabat BERSIH di Petaling Jaya.

"Siasatan dijalankan berikutan pendedahan media berhubung beberapa individu serta NGO dipercayai menerima sumbangan dana asing dan dikenal pasti mempunyai hubungan dengan Open Society Foundation," katanya.

Beliau berkata kes ini diklasifikasi mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Katanya Loke pula ditahan di sebuah hotel di KL Sentral dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Amar Singh berkata 10 orang pula ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan termasuk Liu.

Sembilan lagi yang ditahan ialah Anggota Jawatankuasa Bersih Mandeep Singh Karpall Singh, anggota Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam, aktivis pelajar Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Anis Syafiqah Md Yusof
serta anggota DAP Wong Chee Wai @Jimmy Wong dan Lee Khai Meng.

Turut ditahan aktivis Gerakan Merah, Hairol Nizam Md Nor, Razali Zakaria dan Muhamad Safwan Anang@Talib.

Amar Singh berkata seorang lagi pemimpin NGO GNGMM Ariffin Abu Bakar@Ipin Keramat juga ditahan mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan.

"Kesemua tangkapan akan dipohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Pihak polis masih lagi mengesan beberapa individu bersabit perhimpunan haram ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS