Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Isu kemiskinan petani Baling pernah mencetuskan demonstrasi besar di ibu negara di era aktivisme pelajar sekitar tahun 70-an.

Selepas lebih 40 tahun, perkara itu rupa-rupanya masih membelenggu, sekurang-kurangnya bagi seorang warga emas 68 tahun yang hadir ke perhimpunan BERSIH5 di ibu negara hari ini.

"Kami orang kampung hidup susah. Kami datang sini menaiki bas untuk kami menyatakan kesengsaraan kami.

"Cukuplah himpunan BERSIH5 ini, kami mahu kerajaan pula mainkan peranan mereka.

"Fahami kesusahan rakyat. Kami telur sebiji kongsi satu rumah," kata lelaki yang enggan namanya disebut itu dengan nada sebak.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini petang ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, ketika orang ramai mula bersurai.

Ketika ditemui, persimpangan Kampung Baru menuju ke Jalan Tunku Abdul Rahman sudah dibuka untuk kenderaan lalu lalang.

Lautan kuning membanjiri Kuala Lumpur hari ini bagi mendesak pilihan raya yang bebas dan adil, selain pengunduran Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berdepan dakwaan skandal 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Kumpulan anti-BERSIH, Baju Merah turut berhimpun di ibu kota, tetapi jumlah mereka jauh lebih kecil.

Lihat Komen
ADS