M'sia berkuasa bendung limpahan pasaran dalam negara
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, walaupun bank pusat itu memiliki rizab lebih tinggi dan kuasa kawal selia lebih besar berbanding 1997/98 bagi menahan daripada sebarang spekulasi, perkiraan semasa untuk apungan terurus memenuhi matlamat itu dan menyokong ekonomi negara.
Beliau menegaskan, walaupun NDF atau pasaran luar pesisir tidak boleh dikawal, BNM mempunyai kuasa yang diperlukan untuk membendung sebarang kesan limpahan ke atas pasaran dalam negara.
"Kita boleh menguruskannya, tekanan seumpama itu datang dan pergi," katanya dengan menjelaskan yang bank-bank tersebut tetap mematuhi arahan BNM, yang dalam keadaan ini bermakna mengetepikan kadar luar pesisir, memetik laporan Bernama.
Dua hari yang lalu, ringgit terus menyusut dengan mencecah paras 4.4030 berbanding dolar Amerika Syarikat apabila pelabur bertindak balas ke atas kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Janet Yellen, semalam yang memberi bayangan bahawa kadar faedah AS mungkin naik tidak lama lagi.
Pada 10 pagi hari berkenaan, ringgit didagangkan pada 4.4030/4100 berbanding dolar AS.
Bank Negara telah mengambil langkah bagi membendung turun naik dalam pasaran pertukaran asing.
Kementerian Kewangan pula memberi jaminan kepada pelabur yang Malaysia tidak akan menambat ringgit atau mengenakan kawalan modal meskipun prestasi turun naik yang dicatatkan oleh unit tempatan itu ketika ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata penurunan ringgit diburukkan lagi oleh aktiviti spekulasi di luar pesisir.
"Ini susulan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kenaikan kadar di AS tidak lama lagi, yang menyebabkan para pelabur membawa keluar dana mereka dari Asia," kata Johari lagi.
Bank Negara akan memastikan pasaran pertukaran asing yang teratur di negara ini, jelasnya.
"Bagi Malaysia, asas kita adalah kukuh (memandangkan) pertumbuhan dalam keluaran dalam negara kasar kita bagi suku ketiga, aktiviti ekonomi dan pelaburan prasarana," katanya.
"Kita tidak akan mengenakan kawalan modal atau tambatan kerana kita adalah sebuah ekonomi terbuka dan kita akan kekal sebagai itu," tambahnya.

