Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas untuk meneliti serta merangka langkah menambah baik proses perolehan Jabatan Air Sabah.

Dalam kenyataan dikeluarkan SPRM hari ini menyebut pasukan khas berkenaan diketuai bahagian pemeriksaan dan perundingan agensi antirasuah berkenaan.

"Usaha ini adalah bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek-projek Jabatan Air Sabah dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengatasinya," kata SPRM.

Tindakan berkenaan kata agensi terbabit adalah selaras dengan fungsi SPRM di bawah Seksyen 7 (c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Langkah itu menurut SPRM diambil selepas bekas pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah bersama 23 jurutera dan juruteknik agensi itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana projek sejak Oktober lalu.

Sebelum ini media melaporkan SPRM menahan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah dan disiasat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah membabitkan nilai RM3.3 bilion.

Selepas meneliti dan mengenal pasti penemuan serta kelemahan-kelemahan yang berlaku, kata SPRM, pasukan khas itu akan merangka beberapa cadangan untuk penambahbaikan ke atas amalan, sistem dan prosedur kerja pegawai dan kakitangan Jabatan Air Sabah.

"SPRM berharap agensi-agensi lain turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di agensi masing-masing khususnya dalam perolehan kerja yang melibatkan dana awam," katanya.