Dianggap satu daripada denda tertinggi dikenakan untuk kesalahan menghina mahkamah, 12 pemegang saham majoriti dan lapan minoriti syarikat Kian Joo Can Sdn Bhd diarah membayar RM100,000 seorang oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dihukum penjara lapan bulan.

Seorang peguam yang bertindak bagi pihak pemegang saham minoriti syarikat berkenaan pula didenda RM150,000 atau penjara 10 bulan.

Setiap tertuduh diberi tempoh sehingga esok oleh mahkamah untuk melunaskan denda berkenaan.

Secara keseluruhan mereka dikenakan denda sebanyak RM2.15 juta.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar ketika membacakan keputusan selepas semua 21 tertuduh memohon maaf berkata mereka meremehkan pentadbiran keadilan negara ini.

"Mereka menyebabkan keyakinan awam kepada mahkamah terhakis, dipersenda, dimalukan dan menjejaskan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman" katanya.

Suriyadi mengetuai panel lima hakim mendengar kes berkenaan sebelum ini.

Mahkamah turut akan menentukan tarikh lain untuk pengurusan kes membabitkan peguam kanan Datuk VK Lingam yang tidak hadir hari ini.

Lingam bertindak sebagai peguam untuk pemegang saham majoriti, serta tiga pemegang saham minoriti Kian Joo Can Sdn Bhd.

Dalam permohonan semakan semula dibuat pemegang saham majoriti di mahkamah persekutuan menuduh hakim yang membuat keputusan sebulan suara sebelum ini melakukan plagiat.

Pada 20 Februari 2012 Malaysiakini melaporkan See Teow Chuan Holdings Sdn Bhd, pemegang harta pusaka Keoh Ah Seah @ Seah Yeo dan 12 yang lain memfailkan rayuan supaya kes mereka dibicarakan semula atas alasan sebahagian besar daripada keputusan terdahulu diciplak daripada hujah bertulis responden pertama, Ooi Woon Chee.

Permohonan untuk perbicaraan semula difailkan pada 13 Februari oleh firma VK Lingam & Co.

Pemohon mendakwa bahawa 56 perenggan daripada penghakiman 47 muka surat itu diciplak tanpa sebaran atribusi ke atas Ooi.

[Baca berita penuh]