Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang menyertai perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, pihak berkenaan akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin jika terdapat aduan dan terbukti melakukannya.

"Jika ada aduan... parti tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokong PAS yang akur keputusan parti dengan tidak hadir ke perhimpunan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Hadi berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau juga dilapor mengulangi pendirian PAS untuk menolak percubaan mana-mana pihak untuk mencetuskan sesuatu di luar sistem demokrasi.

"Kita tidak mahu (dalam) demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional.

Terdahulu, anggota Majlis Syura PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.

"Kita tak turun BERSIH secara rasmi tapi tak halang (anggota) untuk pergi," katanya pada pemberita di perkarangan Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, anggota parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan untuk memutuskan sekiranya terdapat sebarang tindakan yang akan diambil.

"Itu kita akan lihatlah oleh pimpinan macam mana keadaan," katanya lagi tanpa mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dikatakan antara yang hadir dalam acara itu, selain bekas ketua pengarang organ rasmi PAS Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.

Selain itu, ditanya mengenai kurang penyertaan kaum Melayu pada himpunan 19 November lalu, beliau berkata apa yang penting mesej untuk menolak pentadbiran yang sedia ada dapat disampaikan.

"Tetapi yang jelas rakyat tolak BN. Tak timbul berapa yang turun.

“Tak penting berapa jumlah tapi yang penting suara rakyat sampai kepada pemerintah bahawa banyak polisi kerajaan yang kita tak setuju.

"Cuma PAS ambil sikap tersendiri untuk tak bersama dengan BERSIH," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS