Sejumlah 79 daripada 930 syarikat senaraian awam mencapai kadar 30 peratus jumlah wanita sebagai anggota lembaga pengarah sehingga September tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rohani berkata perkembangan itu menunjukkan petanda positif dan berada di landasan yang betul bagi mencapai bahagian Malaysia melalui 'Kelab 30 Peratus' yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

Katanya kelab berkenaan bertujuan untuk membantu negara mencapai sasaran meningkatkan tiga kali ganda peratusan jumlah wanita sebagai anggota lembaga pengarah sesebuah syarikat kepada 30 peratus menjelang tahun ini.

Menyentuh penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja, beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) tidak lama lagi bagi menganjurkan program 'Wanita kembali Berkerjaya', bagi menyediakan peluang kerja kepada wanita yang berhenti kerja untuk menjadi ibu.

"Kira-kira 63 peratus enrolmen di universiti awam adalah wanita, namun sejumlah besar daripada mereka cenderung untuk berhenti kerja berikutan masalah peribadi atau komitmen keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Mengenai Integriti dan Tadbir Urus anjuran Institut Pengurusan Wanita (WIM) di Petaling Jaya semalam.

"Program ini akan menyediakan peluang kerja sepenuh masa yang fleksibel kepada suri rumah sepenuh masa agar mereka dapat kembali bekerja," katanya.

Rohani berkata di Korea Selatan dan Jepun, wanita yang mungkin lebih awal berhenti kerja akan bekerja semula namun di Malaysia mereka yang berbuat demikian tidak akan kembali bekerja.

Katanya kementeriannya akan berusaha menggalakkan wanita untuk menyertai pasaran tenaga kerja memandangkan matlamatnya telah ditingkatkan kepada 59 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 hingga 2020).

Sementara itu, beliau akan meminta Kementerian Pengangkutan menyegerakan cadangan untuk mewajibkan penggunaan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan menjelang tahun depan dan bukan 2019.

"Saya minta semua ibu bapa untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan anak mereka memakai tali pinggang keledar dan memasang tempat duduk khas untuk bayi dalam kereta bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau mengulas insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang bayi berumur dua tahun di Ulu Tiram, Johor, kelmarin akibat dilanggar sebuah kenderaan selepas tercampak keluar dari pintu belakang kereta ibu bapanya.

Menurut laporan media, Goh Hao Zheng Jayden mati akibat kecederaan parah di kepala semasa dikejarkan ke hospital dalam kejadian 8.30 malam.

- Bernama