KM bentang usul di DUN bidas Sosma, tahanan Maria
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membentangkan sebuah resolusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi membidas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan penggunaannya terhadap Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.
Lim berkata Maria, seorang ibu kepada tiga anak yang berusia 60 tahun itu bukan seorang pengganas, mahupun seorang ahli politik. Maria hari ini memfailkan permohonan habeas corpusuntuk mencabar penahanannya di bawah akta itu dan memohon dibebaskan.
Lim juga menggesa DUN supaya mengutuk penahanan 28 hari Maria tanpa perbicaraan dan kurungannya di dalam penjara tanpa tingkap.
Beliau ditangkap pada malam sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur, yang menyaksikan puluhan ribu baju kuning dan kira-kira 4,000 Baju Merah berhimpun secara aman dan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Ia adalah tidak berperikemanusiaan, dia perlu dibebaskan tanpa syarat dengan segera," kata Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP, ketika membentangkan resolusi itu.
"Semua rakyat Malaysia, kecuali kerajaan persekutuan dan BN, tahu Maria bukan pengganas dan tidak terlibat dalam mana-mana keganasan, dia hanya pemimpin BERSIH5 yang membuat lima tuntutan," katanya.
Lima tuntutan itu termasuk pilihan raya yang bebas dan adil, kerajaan yang bersih, pengukuhan parlimen demokrasi, dan pemerkasaan Sabah dan Sarawak.
Lim mengingatkan bahawa kerajaan persekutuan ketika membentangkan Sosma di Parlimen pada 2012 memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan digunakan terhadap musuh-musuh politik.
Ini ditegaskan dalam Seksyen 4 (3) Akta Sosma yang menyatakan "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya".
"Namun, ahli politik anti-BN seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (bekas Timbalan Ketua Umno Batu Kawan) dan peguamnya Mathias Chang telah ditahan di bawah Sosma.
"Adalah jelas bahawa seperti ISA (yang kinidimasuhkan), Sosma disalah-gunakan dan digunakan terhadap ahli-ahli politik dan aktivis,” kata Lim.

