Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
FGV catat kerugian di sebalik kenaikan perolehan
Diterbitkan:  Nov 22, 2016 4:31 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) mencatatkan kerugian bersih RM98.19 juta atau 2.7 sen sesaham bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 September 2016.

Prestasi sedemikian berlaku walaupun perolehan kumpulan itu meningkat enam peratus kepada RM12.09 billion sepanjang sembilan bulan pertama itu berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.

Memetik laporan The Edge Markets, FGV mencatatkan kerugian itu walaupun berjaya menjana keuntungan bersih sebanyak RM15.74 juta atau 0.4 sen sesaham untuk tempoh yang sama tahun kewangan 2015.

Dalam tempoh suku ketiga tahun kewangan semasa, kerugian bersih FGV terus bertambah kepada RM94.87 juta atau 2.6 sen sesaham berbanding RM33.92 juta atau 0.9 sen sesaham setahun yang lalu.

Pertambahan kerugian tersebut disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO), kenaikan kos gula mentah selain perolehan lebih rendah daripada segmen hiliran, kata laporan itu.

"Pertambahan kerugian itu juga disebabkan kerugian besar yang ditanggung oleh salah satu entiti yang dikawal bersama ekoran kerugian saham dihadapi pada suku ketiga tahun kewangan 2016," jelasnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, pendapatannya menurun sebanyak 7 peratus kepada RM4.19 bilion daripada RM4.51 bilion pada suku ketiga 2016 berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.

Saham FGV mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lima sen atau 2.6 peratus lebih rendah pada RM1.84 sesaham dengan sejumlah 6.14 juta saham bertukar tangan.

Syarikat itu mempunyai modal pasaran sebanyak RM6.86 bilion.

Empat pemegang saham utama FGV ialah Felda dengan pegangan kepentingan sebanyak 33.66 peratus dan Lembaga Tabung Haji pula dengan 7.79 peratus.

Dua pemegang saham utama lain ialah Koperasi Permodalan Felda dengan 5.8 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 5.28 peratus.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 dengan menjadi projek penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Lihat Komen
ADS