Anggota polis mengaku tak salah curi kereta
Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah kereta, bulan lalu.
Lans Kpl Ali As’asa Mohamed, 28, didakwa mencuri sebuah Proton Saga FL yang didaftar atas nama Razali @ Ismail Mahmood dengan cara membawa kereta itu keluar dari tempat letak kereta di Lot 40, Aras 2B, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 9.50 malam hingga 10 malam, 1 Oktober lepas.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan melupuskan kereta sama dengan cara memindahkan kereta tersebut keluar daripada kawasan tempat letak kereta pada masa, tarikh dan tempat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Adira Adnan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi
pertuduhan mencuri dan RM6,000 bagi pertuduhan pilihan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Dis untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan. -Bernama

