Pucuk pimpinan PAS perlu menghentikan budaya mengkritik kerajaan, tetapi sebaliknya mengkritik sikap rakyat yan tidak peduli atau buta politik, kata ahli Jawatankuasa PAS pusat, Mahfuz Omar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, tindakan mengkritik kerajaan tidak akan memberi makna jika rakyat tidak bersama-sama dalam arus tersebut.

Katanya, apa yang lebih penting, PAS perlu mengamalkan budaya mendidik masyarakat supaya mereka turut sama menyokong perjuangan parti itu, termasuk mengundi calon PAS dalam pilihanraya.

"Sikap menuding jari kepada kerajaan tidak membawa keuntungan kepada PAS, kerana rakyat mahu melihat apa yang kita boleh tawarkan kepada mereka," katanya Mahfuz dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, ahli dan pemimpin PAS mengubah pemikiran dan mentaliti mereka, daripada imej parti pembangkang kepada imej parti yang bakal memerintah dan sekaligus mendidik rakyat ke arah budaya poltik baru yang lebih demokratik.

Di majlis yang sama beliau mengumumkan menerima pencalonan bertanding jawatan naib PAS dalam Muktamar di Kota Bharu pada 1 hingga 6 Jun ini. Beliau turut menyerahkan borang penerimaannya kepada ibu pejabat PAS di Taman Melewar hari ini.

"Kita perlu ada keberanian untuk melakukan perubahan termasuk menghasilkan produk-produk baru untuk memastikan rakyat terus menyokong parti," tambahnya.

Gerakan politik rakyat

Katanya, dengan Islam sebagai dasar perjuangan, maka PAS perlu melakukan gerakan penyedaran rakyat, tranformasi rakyat, pengupayaan rakyat dan mobilisasi rakyat.

Strategi PAS, tegasnya, hendaklah menyediakan khidmat masyarakat, mewujudkan jaringan rakyat serta bersikap responsif terhadap persekitarannya.

Menurutnya, PAS harus memiliki ciri-ciri gerakan politik rakyat yang dinamik bagi membolehkan parti itu bergerak ke hadapan dengan lebih berkesan.

"Kita tidak boleh mengharapkan pengaruh berasaskan kepada `politik tragedi' tetapi PAS dilihat bekeupayaan jika mampu menguruskan perkembangan pengaruh itu melalui suasana yang tenang," katanya.

Mahfuz berkata, pucuk pimpinan tertinggi PAS perlu menerima perubahan tersebut dan budaya itu perlu dimulakan dari sekarang jika mahu memenangi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, PAS tidak boleh mempengaruhi rakyat melalui kempen pilihanraya selama seminggu atau melalui manisfesto parti.

Beliau juga berkata, PAS perlu memandang berat budaya pertandingan yang tidak sihat yang semakin menular terutama pada muktamar kali in.

"Budaya fitnah nampaknya telah berlaku dan parti perlu mencari jalan untuk membanterasnya," katanya.