Proses undang-undang dalam kes Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah perlu dihormati, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Semua pihak perlu menghormati dan berpegang kepada prinsip perundangan yang diamalkan.

“Proses penahanan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 adalah sebagai langkah pencegahan yang digunakan pihak berkuasa,” kata Azalina dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, akta ini juga memberi ruang untuk tahanan mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Malah tempoh penahanan di bawah Sosma, katanya, adalah lebih singkat iaitu maksimum 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Azalina berkata Maria menggunakan haknya, sebagaimana yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dengan memfailkan permohonan habeas corpus di mahkamah, yang membenarkannya mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.

“Ini bermakna kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman.

“Ini menunjukkan bahawa undang-undang di Malaysia hari ini bertambah baik dan selaras dengan keperluan hak asasi,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan semua pihak menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mereka secara profesional.

Maria ditahan di bawah Sosma Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 dan juga mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu menerima dana daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.

Maria ketika ini dikurung i di kem tahahan polis di Batu untuk selama sehingga 28 hari.

Permohonan habeas corpus itu difailkan semalam dan pengurusan kes itu dijadualkan esok.