Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga lagi individu, menjadikan kesemuanya sembilan orang, untuk disoal berhubung penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan seorang pengarah agensi kerajaan persekutuan di Labuan.

Kenyataan mereka dirakamkan oleh sepasukan pegawai SPRM untuk membantu siasatan berhubung pembinaan sebuah medan selera berharga RM12 juta yang sedang dibina di Tanjung Purun.

Ketika mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata daripada sembilan individu itu, enam adalah wanita manakala bakinya lelaki.

"Enam daripada mereka merupakan kakitangan kerajaan dan tiga lagi adalah orang awam," katanya kepada Bernama hari ini.

Tiada tangkapan atau rampasan baru yang dibuat.

- Bernama