Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayi baru lahir ditemui di tepi jalan di Miri
Diterbitkan:  Nov 24, 2016 5:56 AM
Dikemaskini: Nov 24, 2016 10:55 AM

Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dijumpai di tepi jalan Tudan Desarus berdekatan dengan Tudan Fasa Enam Lutong di Miri.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata bayi tersebut ditemui oleh orang awam dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh dua hingga empat jam sebelum dijumpai.

"Polis menerima panggilan orang awam pukul 2.52 petang ini dan setelah pergi ke tempat kejadian, bayi itu didapati masih hidup dengan tali pusat belum dipotong bersama uri," katanya di Miri hari ini.

Khoo berkata ketika dijumpai, bayi tersebut dibalut dengan kain sarung batik biru dengan badan dipenuhi air ketuban dan tiada sebarang kecederaan.

"Bayi itu diserahkan kepada Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda jika bapa atau ibu bayi tersebut disabitkan kesalahan.

Sementara itu, polis sedang mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes seorang bayi lelaki ditinggalkan di dalam kotak di hadapan sebuah masjid di Taman Melawati, di ibubegara Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek agar menyalurkannya kepada polis.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak membuang kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua belas tahun," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hamzah berkata Isnin lepas, polis mendapat maklumat daripada orang awam pada 8.23 malam yang menjumpai bayi berkenaan di hadapan masjid itu.

"Anggota Unit Rondaan Bermotosikal kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati seorang bayi lelaki dalam keadaan baik di dalam sebuah kotak," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menjumpai sekeping nota yang ditinggalkan di dalam kotak bersama bayi tersebut.

Katanya bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS