Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proton tutup tirai 2016 dengan 'Ertiga'
Diterbitkan:  Nov 24, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Proton Holdings Bhd terus berpegang kepada komitmen untuk melancarkan empat model kereta dalam 2016 apabila ia memperkenalkan Proton Ertiga, model keempat dan terakhir dalam tahun ini.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) itu diperkenalkan melalui kerjasama Proton dengan Suzuki Motor Corp dari Jepun, akan dijual pada harga RM58,800 hingga RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO) Datuk Ahmad Fuaad Kenali ketika bercakap di majlis pelancaran, memberitahu model tersebut merupakan MPV kompak pertama di Malaysia yang diberikan status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Institut Automotif Malaysia

"Ertiga dibuat dengan penuh ketelitian, enjin walaupun pada kelajuan 110km sejam pada 2,900 rpm masih lagi senyap dan pelenyap bunyi daripada kebisingan jalan dan angin menjadikan kereta tersebut enak dipandu lembut dan kurang gegaran," katanya.

MPV itu didatangkan dalam dua versi iaitu Executive (transmisi manual dan automatik) serta Executive Plus (automatik), kedua-duanya diberikan penarafan empat bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Sementara itu, semasa sidang akhbar, Ahmad Fuaad berkata matlamat syarikat adalah untuk mencapai jualan bulanan purata sebanyak 1,500 unit.

Ahmad Fuaad berkata, kandungan peralatan tempatan Ertiga sekarang ini adalah sebanyak 15 peratus dan ini akan meningkat selepas ia mencapai jumlah jualan tertentu.

Bahagian-bahagian pemasangan tempatan (CKD) dihantar ke negara ini daripada kilang Suzuki di Indonesia.

Katanya, jualan MPV ini tidak akan menjejaskan model Exora kerana masing-masing direka untuk segmen pasaran yang berbeza.

"Ertiga yang agak padat berada dalam kereta segmen B (kecil), manakala Exora lebih besar berada dalam segmen kereta C (sederhana)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DRB-Hicom Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar pada sidang media yang sama berkata Proton dijangka akan memasuki satu perjanjian perkongsian strategik dengan pengeluar peralatan asal (OEM) atau rakan kongsi asing, pada separuh pertama tahun depan.

Beliau mengesahkan kewujudan tiga calon yang disenarai pendek tetapi enggan mendedahkan identiti mereka atau mengesahkan jika perjanjian itu akan melibatkan seluruh kepentingan Proton.

"Masih terlalu awal untuk nama-nama itu diberitahu. Kami berharap untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi pada suku pertama dan menyelesaikan perlaksanaan menjelang separuh pertama tahun depan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS