Himpunan mega tahun depan sempena demo Hindraf 2007
Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) akan menganjurkan sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur pada 25 November tahun depan sempena ulang tahun ke-10 demonstrasi Hindu Rights Action Force (Hindraf).
Menurut pengerusi PHM, P Waythamoorthy, perhimpunan itu akan mendesak orang ramai supaya tidak mengundi BN.
"PHM menyeru semua penyokong menyertai dalam memberitahu kepada seluruh negara bahawa Umno-BN tidak berhak mendapatkan undi daripada mana-mana rakyat Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.
"Kami juga akan bekerjasama dengan kumpulan minoriti lain, termasuk saudara-saudara kita dari Sabah dan Sarawak, untuk menyertai dalam perjuangan secara demokrasi untuk menggulingkan BN daripada kuasa," kata Waythamoorthy dalam satu kenyataan.
Pada 25 November 2007, negara menyaksikan protes anti-kerajaan terbesar yang pernah disaksikan. Kira-kira 30,000 masyarakat keturunan India yang kecewa setelah beberapa dekad diabaikan kerajaan menyertainya.
Ketua umum pergerakan Hindraf ketika itu adalah peguam P Uthayakumar. Walaupun adiknya, Waythamoorthy turut terbabit, namun beliau tidak berada di dalam negara sepanjang perhimpunan tersebut.
Waythamoorthy pulang ke Malaysia pada tahun 2012 dan membentuk PHM, yang mengikrarkan taat setia mereka kepada BN selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Selepas majlis menandatangani MoU itu, beliau dilantik sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal masyarakat India tetapi kemudian melepaskan jawatannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Waythamoorthy berkata Najib berjanji melalui MOU berkenaan bahawa kerajaan akan melaksanakan aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi khusus untuk masyarakat India.
"Beliau memberi jaminan bahawa dana dan program akan diamanahkan kepada kepimpinan PHM. Janji itu dibuat khusus kerana PM mendakwa beliau menyedari program pembangunan untuk masyarakat India tidak sampai ke kumpulan sasaran.
"Walaupun Hindraf menyokong BN pada pilihan raya umum lalu berdasarkan MOU yang dimeterai itu, PM sekali lagi membuktikan bahawa Umno tidak boleh dipercayai dan juga sanggup memungkiri janji demi memastikan kroninya - MIC - kekal berkuasa," kata Waythamoorthy.

