Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Exco Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mempertahankan peranan kerajaan negeri dalam menganjurkan seminar 'Pemikiran Anwar Ibrahim' yang bakal berlangsung pada Isnin depan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Beliau menolak perbandingan antara seminar dan yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas Kerajaan Persekutuan (Jasa) dengan penjawat awam dimaklumkan untuk menyertainya.

"Tidak, kami terbuka. Kami tidak menjadikan kehadiran sebagai wajib dan bagi mereka yang hadir, mereka boleh mendengar pandangan (dengan fikiran terbuka). Jika tidak bersetuju, mereka boleh menyuarakan pandangan.

"Saya fikir kita tidak boleh menafikan sumbangan Anwar dalam ekonomi, agama dan sebagainya di Malaysia," katanya yang juga ahli dewan undangan negeri Seri Setia kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi yang diketuai oleh Nik Nazmi sendiri.

Ujar beliau, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan lain dari dalam dan luar Selangor telah dijemput untuk menghadiri seminar tersebut.

Nik Nazmi berkata, program itu akan menampilkan tokoh-tokoh agama dan ekonomi untuk membincangkan sumbangan Anwar dalam banyak bidang antaranya pendidikan dan aktivisme belia Islam.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat merupakan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan pernah menjadi menteri pendidikan di antara tahun 1986 dan 1991.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan zahirkan rasa kecewa dengan penganjuran seminar itu yang mempersoalkan kelayakan Anwar untuk menjadi subjek utama perbincangan.

“Apakah layak pemikiran seorang banduan yang secara jelas dijatuhkan hukuman bersalah kerana jenayah meliwat dijadikan modal untuk mengupas pemikirannya dan kemudiannya dijadikan ikon anak muda," tanya Sohaimi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS