Aktivis lantang kritik ketua polis KL ditahan
Aktivis Sheila Sandhu bersama suaminya ditahan polis.
Menurut Pengurus Sekretariat BERSIH, Mandeep Singh, pasangan itu kini ditahan di ibu pejabat polis daerah Dangi Wangi.
Mandeep berkata penangkapan itu berkaitan dengan catatan yang dibuat oleh Sheila di laman Facebooknya.
Ujar beliau dalam catatan di Facebook bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 233 akta tersebut membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Masih belum jelas apa yang menyalahi undang-undang dengan catatan Facebook itu tetapi sebelum penahanan Sheila, beliau difahamkan telah mengkritik penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

