Speaker DUN Sabah cadang halang pemimpin 'kuning, merah' ke Sabah
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali mencadangkan agar pemimpin 'Baju Kuning' dan 'Baju Merah' tidak dibenarkan memasuki Sabah untuk satu tempoh tertentu.
Beliau berkata langkah itu bagi memberi mesej dan amaran kepada pihak yang berkenaan bahawa Sabah tidak akan bertoleransi dengan keganasan dan gangguan yang boleh menggugat perpaduan di negeri ini.
"Apa yang ingin saya tegaskan ialah tindakan ketua-ketua perhimpunan mereka (Baju Kuning dan Baju Merah) telah melakukan sesuatu yang boleh dizahirkan sebagai percubaan untuk mewujudkan suasana demokrasi tanpa ada rasa tanggungjawab kepada pengikut mereka dan negara ini khasnya.
"Ingin saya menasihatkan, khas kepada ketua-ketua perhimpunan ini untuk menghentikan dan berfikir sedalam-dalamnya akan kesan dan akibat daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya di akhir persidangan DUN Sabah semalam.
Syed Abas berkata tindakan kumpulan itu boleh mewujudkan ketegangan dan ketidaktenteraman dalam masyarakat dan rakyat pula akan berasa gelisah.
Menurutnya, perkara itu akan berlarutan sekiranya tidak dibendung dari peringkat awal.
"Saya sangat pasti ahli Yang Berhormat sekalian di dewan yang mulia ini akan bersetuju jika saya mengatakan Sabah sebuah negeri yang cantik, aman dan tenteram di mana kita boleh hidup secara harmoni dan saling hormat-menghormati, walaupun berbeza agama, budaya dan politik.
"Tidak keterlaluan jika saya mengatakan amalan ini sudah menjadi suatu lumrah dan nilai kepada seluruh masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu ini dan saya percaya semua ahli Yang Berhormat mempunyai perasaan yang sama," katanya.
Sehubungan itu, Syed Abas berkata langkah positif perlu diambil bagi memastikan nilai-nilai murni dalam masyarakat terus terpelihara dan tidak diporakperandakan oleh rakyat di jalan raya.
Beliau juga berpendapat tiada perbezaan antara 'Baju Kuning' dan 'Baju Merah' yang menurutnya masing-masing membawa budaya sama yang dianggap asing dan bertentangan dengan nilai-nilai murni, khususnya di Sabah.
"Kesimpulannya, sebarang ketidakpuasan hati hendaklah dilakukan melalui peti undi semasa pilihan raya dan bukannya melalui demonstrasi jalanan, berteriak-teriak di jalan raya ataupun di media sosial," tegasnya.
- Bernama

