AirAsia rancang IPO ASEAN Holding Co
AirAsia Bhd merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) ASEAN Holding Co, yang akan terdiri daripada semua operasi di rantau ini, setelah syarikat penerbangan tambang murah itu berhasrat mendapatkan asas pelabur lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes memberitahu CNBC, ramai berminat terhadap saham syarikat dan usaha ke arah pelaksanaan IPO telah bermula.
Beliau berkata penyenaraian ASEAN Holding Co akan mewujudkan jentera ekonomi tunggal yang akan membolehkan penganalisis dan pelabur melihat kumpulan secara keseluruhan dan bukan hanya operasi Malaysia dengan syarikat sekutu sahaja.
Bagaimanapun, beliau berkata rancangannya ialah untuk menyenaraikan AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines dahulu pada separuh pertama tahun depan sebelum meneliti untuk menyenaraikan ASEAN Holding Co.
"Ini bermakna semua sekutu ASEAN AirAsia akan disenaraikan. Barulah kami akan mengambil langkah seterusnya dan mewujudkan ASEAN Holding Co dan membolehkan kami menjadi sebuah jentera ekonomi," kata Fernandes kepada saluran berita itu awal hari ini.
Beliau berkata banyak peraturan yang perlu diteliti.
"Banyak halangan kawal selia tetapi anda tahu kami selalu yang pertama dalam mencuba sesuatu dan respons awal yang kami dapat daripada pemimpin dan pengawal selia adalah positif," katanya.
Semasa ditanya sebab beliau memilih Hong Kong untuk penyenaraian berkenaan, beliau berkata syarikat penerbangan menerima sambutan hebat dari Asia Utara.
"China, Hong Kong, China Taiwan dan Korea Selatan merupakan sebahagian besar perniagaan kami. Ramai pelabur berminat terhadap saham kami," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada syarikat akan meletakkan keseluruhan pegangan syarikat, adalah perkara lain.
"Bagaimanapun ia tentunya dwi penyenaraian. Kami mahu mendapatkan asas pelabur yang lebih besar," katanya.
Beliau menolak tanggapan pihak yang bimbang tentang pelbagai penyenaraian akan menyebabkan jenama tidak kukuh, malah beliau mengatakan ia akan menjadikan syarikat penerbangan itu lebih kukuh.
Mengenai sejauh mana realistik pelan Bursa Saham ASEAN, Fernandes berkata, beliau sentiasa menyokongnya.
"Bagaimanapun saya tidak pasti berapa lama atau secepat mana tetapi hubungan ASEAN (antara bursa saham) ialah dari segi dagangan saham antara pelbagai bursa saham," katanya.
Fernandes berpendapat syarikat-syarikat seperti AirAsia perlu memacu pelan sedemikian.
"Harapan dari pelbagai bursa saham sangat baik dan kita akan berusaha bersama-sama," katanya.
Sementara itu, penganalisis penyelidikan ekuiti Affin Hwang Capital, Aaron Kee, dalam wawancara berasingan dengan CNBC berkata langkah menyenaraikan ASEAN Holding Co merupakan satu idea yang baik dan memberi aliran berita positif untuk Kumpulan AirAsia secara keseluruhannya.
"Saya rasa ia sebenarnya satu idea yang baik kerana pada masa ini pasaran tidak begitu mengenali syarikat bersekutu AirAsia kerana ia sebagai satu item," katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa cabaran kawal selia akan menjadi besar memandangkan pihak luar tidak dibenarkan menguasai pemegangan saham dalam syarikat sekutu.
"Kita harap hasil positif boleh dicapai pada suku kedua tahun depan dan kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenainya," katanya.
Ditanya mengenai IPO tersebut, Kee berkata, walaupun ia terlalu awal untuk membuat spekulasi, ia boleh mencecah sehingga US$500 juta (RM2.23 bilion).
- Bernama

