K'jaan negeri tak boleh batal PL syarikat guna khidmat gengster
DUN S'WAK Kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk membatalkan Pajakan Sementara (PL) yang diberi kepada mana-mana syarikat berdaftar yang menggunakan khidmat gengster untuk melindungi kepentingan mereka, demikian sidang Dewan Undangan Sarawal diberitahu hari ini.
Bagaimanapun, jika mereka melanggar syarat khas berhubung penggunaan tanah seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 33 Kanun Tanah Sarawak, pembatalan itu boleh dilakukan.
Menteri Muda Perancangan Sumber negeri Datuk Mohd Naroden Majais berkata demikian ketika menjawab soalan Baru Bian (PKR-Ba Kelalan) yang bertanya tentang sejauh mana kebolehlaksanaan cadangan yang dikemukakan baru-baru ini agar kerajaan menarik balik PL dari mana-mana syarikat yang berbuat demikian.
Baru, yang membangkitkan isu itu pada awal persidangan dewan, berkata beliau dimaklumkan oleh para penyokongnya di Long Sukang di Lawas bahawa gengster mengugut pemilik tanah dengan 'pump gun'.
Mengulas lanjut, Mohd Naroden sebarang tindakan pembatalan akan membawa implikasi buruk kepada kerajaan dan rakyat.
"Pertama sekali terdapat implikasi kewangan. Kerajaan negeri mengutip premium sebanyak RM741 bagi setiap hektar yang diperuntukkan kepada syarikat terbabit. Jumlah ini perlu dibayar balik jika berlaku sebarang pembatalan.
"Jadi, apabila sesebuah syarikat diperuntukkan 10,000 hingga satu juta hektar, kerajaan mengutip premium dalam jumlah yang sangat besar," katanya.
Beliau berkata setakat ini, kerajaan memperuntukkan kira-kira 2.7 juta hektar untuk mengumpul premium lebih RM2 bilion.
Katanya syarikat terbabit pula terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang sangat banyak sebagai kos pembangunan awal.
Mohd Naroden berkata selain itu, masalah pemberhentian pekerja akan turut berlaku disebabkan setiap syarikat memerlukan 20 pekerja untuk menguruskan kawasan seluas satu hektar.
"Implikasi lain adalah sebarang langkah seperti itu akan menghantar mesej menakutkan terutamanya kepada pelabur asing. Kita masih memerlukan mereka dalam kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak," katanya.
Mohd Naroden memberi jaminan kepada Baru bahawa kerajaan bersedia mengkaji kebolehlaksanaan syarat seperti itu (menggunakan khidmat gengster) untuk dimasukkan ke dalam PL baru.
"Buat sementara waktu, pemilik tanah perlu melaporkan kepada polis sekiranya mereka diugut gengster," katanya.
- Bernama

