Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ekstrak 'Calanolide A' dari pokok Bintangor positif rawat HIV
Diterbitkan:  Nov 25, 2016 5:38 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

DUN S'WAK Hasil amat positif dicapai dalam ujian klinikal menggunakan 'Calanolide A' yang diekstrak daripada pokok Bintangor (Calophyllum lanigerum var austrocoriaceum)' bagi merawat HIV, sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu hari ini.

Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi negeri Dr Annuar Rapaee berkata ujian itu dijalankan di Hospital Umum Sarawak dan di Pulau Pinang.

"Dengan keputusan itu, Crop Research and Unit Application (Craun) negeri telah menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet dan untuk memohon dana bagi melantik perunding untuk menjalankan kajian pemasaran dan dari segi pelesenan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Hazland Abang Hipni (BN-Demak Laut).

Craun, yang mengendalikan projek Calanolide A bagi pihak kerajaan negeri juga telah memfailkan permohonan bagi paten produk itu, katanya.

Beliau berkata ia juga akan melindungi pemasaran bagi ekstrak Calanolide A sehingga 2030.

Dalam pada itu, Dr Annuar berkata kerajaan negeri merancang menubuhkan badan dikenali Majlis Penyelidikan Sarawak untuk menerajui organisasi dan pengurusan penyelidikan dan pembangunan serta menyelaraskan aktiviti penyelidikan di negeri ini.

Beliau berkata strategi dan hala tuju Sarawak bagi penyelidikan sains dan bioindustri adalah selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara (NBP) serta Pelan Transformasi Sosio-Ekonomi Sarawak (SETP 2006-2030).

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS