'Dulu kata 131 ekar, kenapa sekarang 190 ekar pula'
Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Teng Chang Yeow menzahirkan rasa terkejut ekoran kawasan penambakan sepanjang Gurney Drive kini telah meningkat kepada 190 ekar, naik sebanyak 59 ekar.
Beliau menyifatkan pengumuman mengenai perkara itu yang dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam sebagai 'mengejutkan'.
Ujar Teng, setahun yang lalu, kawasan yang terlibat dinyatakan sebanyak 131 ekar sahaja.
"Bagaimana kerajaan negeri yang mendabik dada dengan prinsip CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) itu secara senyap-senyap meluluskan tambahan 59 ekar," tanya beliau dalam kenyataan.
Beliau yang juga mengepalai parti Gerakan pulau mutiara itu berkata, jika bukan kerana didedahkan dalam sidang DUN, rakyat Pulau Pinang tentunya masih tidak mengetahui mengenai tambahan 59 ekar itu.
Beliau merujuk kepada ucapan Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang, semalam.
Terdahulu, Lim menjelaskan, kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya kos membina lebuh raya lapan lorong di sepanjang Gurney Drive itu yang akan membantu menyuraikan trafik yang berpunca daripada projek Sri Tanjung Pinang 2 (STP2) di Tanjung Tokong.
Anggaran kos projek itu adalah sekitar RM300 juta kepada RM400 juta, Dewan Undangan Negeri diberitahu.
"Pada masa ini, kerajaan negeri akan membiayai projek itu tetapi perbincangan mengenai aspek kewangan tersebut masih berjalan," kata Lim.
Lebuh raya ini akan dihubungkan dengan cadangan jalan raya berpasang Tanjung Bungah-Teluk Bahang dan pintasan Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu.

