Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berada dalam keadaan selamat dan sihat, demikian jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau mengulas kebimbangan yang disuarakan berhubung keadaan diri Maria yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 minggu lepas.
"Saya faham bahawa keluarganya, rakan-rakannya bimbang. Tetapi mereka juga perlu faham bahawa kita ada tugas yang perlu dilakukan, dan ia dijalankan mengikut skop undang-undang.
"Saya boleh beri jaminan kepada mereka bahawa Maria berada dalam selamat dan sihat," katanya kepada Malaysiakini.
Khalid juga memberitahu bahawa pengecualian telah diberi kepada Pengerusi BERSIH itu, yang telah disediakan dengan tilam dan bantal kerana dia tidak selesa tidur di atas lantai kayu di selnya.
Beliau juga telah diberi senashkah al-Quran dan boleh menunaikan solat.
Ditanya sama ada bahan bacaan lain telah disediakan, Khalid berkata permintaan itu sedang diteliti.
IGP juga mengulangi bahawa bukti yang diperolehi berkaitan dengan kesnya tidak boleh didedahkan kepada umum seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
"Polis akan menahan seseorang dan menjalankan siasatan sama ada terdapat asas untuk berbuat demikian.
"Dalam tempoh suspek ditahan, kami mengumpul bukti dan kemudian menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.
"Jika Jabatan Peguam Negara memutuskan terdapat alasan yang mencukupi untuk pendakwaan, kemudian bukti akan dikemukakan di mahkamah.
"Kita tidak boleh menjalankan perbicaraan di media dengan mendedahkan segala-galanya sekarang," katanya.
Oleh itu, Khalid meminta semua pihak bersabar dan membiarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka, dan tidak mempolitikkan perkara itu.
BERSIH sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba menjalankan aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Ini berkaitan dengan dana gerakan reformasi pilihan raya itu yang diterima dari Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.